Wanita di bawah Cahaya al-Quran dan al-Sunnah

on Monday, November 22, 2010



Wanita di bawah Cahaya al-Quran dan al-Sunnah
Pendahuluan

Apakah sifat seorang wanita yang beriman kepada Allah dan RasulNya? Bagaimanakah
seorang wanita itu seharusnya bertingkahlaku untuk dia digelar wanita yang
solehah? Dan apakah petunjuk Nabi :selawat kepada kaum wanita dari kalangan
umatnya dalam menjalani kehidupannya? Sesungguhnya tidaklah seorang wanita itu
mengikut setiap pesanan dan nasihat dari guru sekalian umat ini -:selawat-
melainkan dia digelar wanita yang solehah. Tiada satu pun yang dapat mengukur
kebaikan dan kemuliaan seorang wanita itu melainkan dengan kekuatannya berpegang
kepada al-Quran dan al-Sunnah. Tulisan ini akan menjawab persoalan-persoalan
yang diutarakan di atas berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah.
Wahai kaum wanita, perhatilah dan selamilah petunjuk serta wasiat dari
Penciptamu dan Rasulmu serta hadapilah hidup ini dengan hati yang lurus!

Sifat wanita yang  beriman

Sekiranya seorang wanita itu berakhlak dan menghiasi dirinya dengan sifat-sifat
berikut, maka bergembiralah dia dengan syurga yang dijanjikan oleh Allah
untuknya.

(1) Keimanan dan taqwa kepada Allah serta kecintaannya kepada Rasul :selawat.
Seorang wanita itu seharusnya mendahulukan Allah dan Rasul :selawat dalam apa
jua perkara serta menjadikan keduanya sebagai kayu ukur dalam setiap gerak-geri
dan tingkahlakunya. Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud : «Tiadalah bagi
lelaki yang beriman dan wanita yang beriman (hak) untuk memilih dalam urusan
mereka apabila Allah dan RasulNya telah memutuskan urusan itu. Barangsiapa
menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan
kesesatan yang nyata» [al-Ahzab : 36]. Dan Nabi :selawat telah menjanjikan
bahawa mereka yang mendahulukan Allah dan RasulNya dalam setiap perkara maka
mereka akan mendapat kemanisan iman. Nabi :selawat berkata yang membawa maksud :
«Tiga perkara yang mana ia terdapat pada diri seseorang itu, maka dia akan
merasai kemanisan iman ; orang yang mencintai Allah dan RasulNya melebihi segala
sesuatu; orang yang mencintai orang lain kerana Allah; dan orang yang membenci
kekafiran sebagaimana dia membenci dimasukkan ke dalam api neraka»[1].

Seorang wanita yang beriman itu selalu mengingati Allah dalam keadaan bersendiri
mahupun ramai, dan dalam keadaan senang ataupun susah. Hatinya sentiasa terikat
dengan Allah dan dia sentiasa memelihara iman di dalam hatinya dengan zikir,
ibadah-ibadah sunat, membaca al-Quran serta memerhati tanda-tanda kekuasaan
Allah. Kehidupan bagi seorang wanita itu bukanlah emas dan perhiasan, kehidupan
juga bukan suami ataupun keluarga; tetapi kehidupan bagi seorang wanita itu
ialah iman dan amalan-amalan soleh yang akan dibawa berjumpa Allah kelak. Allah
berfirman yang bermaksud : «Barangsiapa mengerjakan kebaikan baik lelaki ataupun
perempuan,  sedang dia beriman, nescaya Kami hidupkan dia dengan kehidupan yang
baik; dan Kami balasi mereka dengan pahala yang terlebih baik dari apa yang
telah mereka amalkan» [al-Nahl : 97]. Seorang wanita yang menjadikan al-Quran
dan al-Sunnah sebagai tunggak hidupnya, maka dia akan menjalani kehidupan di
dunia ini dengan aman dan bahagia. Dari Suhaib al-Rumi, Nabi :selawat berkata
yang bermaksud : «Sungguh mengkagumkan urusan orang mukmin itu, setiap urusannya
adalah baik, tidaklah perkara ini berlaku kepada seseorang pun melainkan orang
mukmin, jika dia mendapat perkara gembira, dia bersyukur, itu adalah baik
baginya, dan jika dia ditimpa musibah, dia bersabar, itu adalah baik
baginya»[2].

(2) Sentiasa melazimi rumah dan tidak berhias-hias (tabarruj). Sekian banyak
dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah yang menunjukkan bahawa melazimi rumah
itu adalah lebih baik bagi seorang wanita. Setiap apa yang disebut sebagai
'baik' oleh Allah dan Rasul  :selawat, maka tiadalah sesuatu pun yang lebih baik
dari perkara itu. Allah berfirman di dalam al-Quran yang menunjukkan perintah
kepada isteri-isteri Nabi :selawat yang bermaksud : «Tetaplah kamu dalam rumahmu
dan janganlah kamu berhias-hias seperti berhiasnya perempuan jahiliyah yang
dahulu…» [al-Ahzab : 34]. Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat ini :
"Adab-adab ini telah Allah perintahkan kepada isteri-isteri Nabi :selawat dan
wanita umat ini (untuk mereka mengikuti ummahat al-mukminin)…(ayat ini
bermaksud) iaitu tetaplah kalian dan janganlah keluar tanpa sebarang hajat dan
antara hajat yang dibenarkan syara' ialah solat di masjid dengan syarat yang
telah ditetapkan[3]". Manakala al-Qurtubi pula berkata : "Ayat ini menunjukkan
perintah untuk tetap di rumah, walaupun ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri
Nabi :selawat, tetapi dari segi makna, ia juga merangkumi wanita-wanita lain,
bagaimana tidak, sedangkan banyak perintah syara' yang  menyuruh wanita tetap di
rumah dan tidak keluar kecuali darurat[4]"..

Dalam suatu hadis, Nabi :selawat berkata yang bermaksud : «Solat wanita di
(bahagian dalam) rumahnya lebih baik dari solatnya di ruangan luar rumahnya[5],
dan solatnya di dalam rumah kecilnya (makhda'[6]) lebih baik dari solatnya di
dalam bahagian dalam rumahnya (tadi)»[7]. Walaubagaimana pun, wanita dibenarkan
untuk solat di masjid, tetapi solat mereka di rumah itu adalah lebih baik
seperti yang dikatakan oleh Nabi :selawat yang bermaksud : «Janganlah kamu
halang isteri-isteri kamu (bersolat) di masjid, (akan tetapi) rumah-rumah mereka
itu lebih baik bagi mereka»[8]. Dalam syarah hadis ini disebutkan : 'Solat
wanita di rumah itu lebih baik bagi wanita daripada solat mereka di masjid
sekiranya mereka mengetahui, tetapi mereka tidak mengetahuinya lantas meminta
izin untuk ke masjid dan menganggap bahawa pahala mereka bersolat di masjid itu
lebih banyak. Solat mereka di  rumah itu lebih baik kerana ia lebih aman dari
fitnah, lebih-lebih lagi setelah berlakunya tabarruj dan berhias-hias di
kalangan wanita…[9]'. Perintah ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadis Nabi
:selawat yang bermaksud : «Wanita itu aurat, jika dia keluar maka syaitan akan
memandangnya, dan seorang wanita itu paling hampir dengan Tuhannya sekiranya dia
berada tetap di dalam rumahnya»[10]. Perkataan 'istasyrafa' dalam hadis di atas
membawa maksud syaitan akan mencantikkan wanita itu di mata lelaki, dan ada
pendapat yang mengatakan bahawa maksud hadis ini ialah syaitan akan memandang
wanita itu untuk menyesatkannya dan orang lain akan menjadi sesat disebabkan
olehnya[11]. Subhanallah! Hadis ini menunjukkan kelebihan melazimi rumah bagi
seorang wanita dan itu merupakan antara cara yang terbaik untuk dia mendekatkan
diri kepada Allah. Maksudnya sama seperti hadis[12] yang menyatakan bahawa
seorang hamba itu paling hampir dengan Allah dalam keadaan  sujud, yang mana
hadis ini menunjukkan kelebihan sujud dan galakan untuk memperbanyakkan sujud.

Perintah bagi wanita supaya tetap di rumah dan larangan untuk mereka keluar
dikecualikan sekiranya mereka keluar dengan sebab-sebab dan hajat tertentu yang
dibenarkan syara'. Ini berdasarkan hadis Nabi :selawat di mana Aisyah :radhia
menceritakan : Saudah :radhia telah keluar –selepas turunnya perintah hijab-
kerana hajat tertentu, dan dia adalah seorang wanita yang berbadan besar, mereka
yang mengenalinya pasti akan akan mengetahui bahawa dia adalah Saudah (walaupun
dia memakai pakaian menutupi seluruh badan ataupun keadaan malam yang gelap),
maka Umar melihatnya lalu berkata : Wahai Saudah, demi Allah, kamu tidak akan
dapat menyembunyikan diri dari kami, maka fikirlah cara bagaimana kamu keluar
tanpa dikenali. Aisyah berkata : Maka Saudah pun pulang, dan Baginda :selawat
berada di rumahku sedang makan malam dan tangannya menggenggam daging,  lalu dia
masuk dan berkata : Wahai Rasulullah, aku telah keluar untuk menunaikan hajatku
dan Umar telah berkata kepadaku (itu dan ini). Aisyah berkata : Maka Allah telah
menurunkan wahyu kepadanya dan ketika keadaan itu selesai, daging itu masih
berada di genggamannya seakan-akan beliau tidak mahu menyimpannya, lalu Nabi
:selawat bersabda : «Kamu diizinkan keluar untuk memenuhi keperluanmu»[13].

(3) Sentiasa menundukkan pandangan dan memelihara dirinya. Seorang wanita yang
beriman dan solehah itu sentiasa menundukkan pandangannya dari melihat
perkara-perkara yang haram dan sentiasa memelihara kehormatan dirinya sebagai
seorang wanita yang beriman.

Telah menjadi kebiasaan bagi wanita-wanita zaman ini samada yang sudah bersuami
atau pun masih belum berkahwin –kecuali mereka yang dipelihara oleh Allah- untuk
mempunyai sahabat dari kalangan lelaki. Ini bertentangan dengan sifat wanita
yang beriman dari kalangan hamba yang  disifatkan oleh Allah dalam surah
al-Nisa' yang bermaksud : «…dan berikanlah kepadanya mas kahwinnya dengan kadar
yang patut, sedang hamba itu perempuan yang baik, bukan perempuan lacur dan
bukan pula mengambil lelaki lain sebagai teman secara rahsia…» [al-Nisa' : 25].
Inilah budaya barat yang cuba diserap masuk di kalangan wanita-wanita Muslimah
kerana musuh-musuh Allah ini tahu bahawa rosaknya wanita Muslimah bererti
rosaklah generasi Islam yang akan datang! Tetapi malangnya, fenomena ini
dianggap biasa di zaman ini bahkan wanita yang tiada sahabat lelaki itu pula
yang dikatakan ketinggalan zaman serta tidak pandai bersosial dan sebagainya.
Allah jualah tempat meminta pertolongan.

Firman Allah lagi dalam surah yang sama mengenai sifat-sifat wanita yang baik
itu : «…Perempuan-perempuan yang solehah ialah perempuan-perempuan yang taat,
yang memelihara kehormatannya sewaktu suaminya tiada, sebagaimana Allah telah
memeliharakan  dirinya…» [al-Nisa' : 34]. Maksudnya, mereka ini memelihara
kehormatan diri mereka dan memelihara rahsia suami ketika ketiadaannya
sebagaimana Allah memelihara mereka dengan memerintahkan para suami supaya
bergaul dengan baik dengan mereka dan menunaikan hak-hak para isteri[14]. Inilah
ciri-ciri wanita yang solehah.

Manakala perintah menundukkan pandangan pula tidaklah terhad pada lelaki sahaja,
bahkan Allah telah mengkhususkan satu ayat yang menyuruh para wanita juga
menundukkan pandangan. Firman Allah yang bermaksud : …«Katakanlah kepada
wanita-wanita yang beriman, supaya mereka merendahkan pandangan…» [al-Nur :
31].

(4) Menjaga lisan daripada mengumpat, memfitnah dan sebagainya. Suka mengumpat,
mencerca dan melaknat adalah satu sifat yang sering dikaitkan dengan wanita
–kita memohon keselamatan dari Allah supaya dijauhkan dari sifat ini-. Manakan
tidak, sedangkan Allah sendiri mengkhususkan larangan ini kepada  wanita di
samping ayat yang umum melarang orang mukmin itu menghina sesama mukmin. Allah
berfirman yang bermaksud : «…dan jangan pula kaum perempuan menghina kaum
perempuan yang lain, kerana boleh jadi perempuan yang dihina itu lebih baik dari
perempuan yang menghina…» [al-Hujurat : 11]. Allah mengkhususkan larangan ini
kepada wanita kerana kaum inilah yang seringkali cepat mengeluarkan kata-kata
yang tidak baik samada mengumpat, menghina, mengata dan sebagainya[15]. Syeikh
al-Sa'di rahimahullah di dalam tafsirnya berkata : '…pada realitinya memang
selalunya mereka yang dihina itu lebih baik dari yang menghina, kerana
penghinaan itu tidak akan datang kecuali dari hati yang penuh dengan keburukan
dan akhlak yang keji…'[16].

Allah Ta'ala juga berfirman yang bermaksud : «…dan janganlah kamu mengumpat
orang lain, sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah
mati?... » [al-Hujurat : 12]. Maka selayaknya bagi  wanita yang beriman untuk
menjauhi larangan Allah ini dan cuba sedaya-upaya untuk menjaga lisannya dari
berkata yang tidak baik.. Hendaklah seorang wanita itu bertaqwa pada Allah dan
meletakkan syurga dan neraka di hadapannya sebelum berkata apa-apa mengenai
orang lain.

Dari Huzaifah :radhia, Nabi :selawat berkata yang bermaksud : «Tidak akan masuk
syurga qattaat (orang yang mendengar sesuatu sedangkan dia tidak mengetahui
hakikat sebenarnya dan kemudian menyebarkannya untuk tujuan berbuat
kerosakan[17])[18].

(5) Menjaga pendengarannya daripada muzik, kata-kata yang keji dan
perkara-perkara lain yang haram untuk didengari. Seorang wanita yang beriman
hendaklah berusaha sedaya-upaya untuk menjauhi apa jua perkara yang boleh
melalaikannya dan tidak mendatangkan faedah bagi agamanya. Dia hendaklah
sentiasa memelihara pendengarannya kerana ia adalah sesuatu yang
dipertanggungjawabkan ke atasnya dan akan disoal oleh Allah di hari akhirat
kelak. Allah berfirman yang bermaksud : «…Sesungguhnya pendengaran, penglihatan
dan hati, masing-masing akan dipertanggungjawabkan» [al-Isra' : 36].

Nabi :selawat berkata yang bermaksud : «Akan muncul dari umatku orang-orang yang
menghalalkan (menganggap halal) zina, memakai baju sutera, arak dan alat
muzik…»[19]. Perbuatan 'menghalalkan' itu tidak terjadi melainkan apabila hukum
asal sesuatu itu adalah haram. Dalam hadis ini, alat muzik diletakkan sebaris
dengan arak dan zina yang mana jelas pengharamannya pada umat Islam. Ibn Mas'ud
:radhia berkata : "Nyanyian itu menumbuhkan nifaq dalam hati sebagaimana air itu
menumbuhkan sayuran"[20].

Dr. 'Aidh al-Qarni berkata[21] : Sesiapa yang mendengar muzik itu maka dia akan
dihukum dengan tiga perkara :

1- Terputus hubungan hatinya dengan Allah.

2- Dia tidak lagi menyintai al-Quran, zikir, hadis, sirah Nabi :selawat dan
sebagainya.

3-  Allah akan mengharamkan mendengar nyanyian baginya di syurga nanti.

--------------------------------------------------------------------------------


[1] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Bad'u al-wahyi, Bab
Halawat al-iman, no. hadis : 16; Muslim dalam Sahihnya, Kitab al-Iman, Bab Bayan
khisal man ittashafa bihinna wajada fiihi halawat al-iman, no. hadis : 67;
al-Nasa'ie dalam Sunannya, Kitab al-Iman wa syara'i'ihi, Bab Halawat al-iman,
no. hadis : 4988; Ahmad dalam Musnadnya, 3/103, no. hadis : 12021.

[2]Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab al-Zuhd wa al-Raqa'iq, Bab
al-Mu'min amruhu kulluhu khayr, no. hadis : 64; Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban bi
Tartib Ibn Balban, Kitab al-Jana'iz, Bab Ma ja'a fi al-sabr, no. hadis : 2896.
Lafaz hadis ini adalah lafaz Muslim.

[3]Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azhim, (T.Tp, T.Th) 3/636.

[4]Al-Qurtubi, al-Jami' li Ahkam al-Quran,  (T.Tp, T.Th) 14/158.

[5]Al-Hujurat : Kawasan lapang di dalam rumah.. Lihat : al-'Azhim Abadi, Syaraf
al-Haq Muhammad Asyraf, 'Aun al-Ma'budSyarh Sunan Abi Daud, (Beirut : Dar Ihya'
al-Turath al-'Arabi, 2001) 2/166.

[6]Al-makhda' : Rumah kecil yang ada dalam rumah besar; tempat menyimpan
barang-barang yang berharga. Lihat : Ibid.

[7]Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunannya, Kitab al-Salat, Bab al-Tasydid fi
zalik, no. hadis : 570; Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya, Kitab al-Salat, Bab
Ikhtiyar Salat al-Mar'ah fi Baytiha 'ala Salatiha, no. hadis : 1688; al-Hakim
dalam al-Mustadrak, Kitab al-Imamah wa Salat al-Jama'ah, no. hadis : 757;
al-Baihaqi dalam Sunannya, Kitab al-Haidh, Bab Khayr Masajid al-Nisa' Qa'r
Buyutihinna, no. hadis : 5144. Berkata al-Hakim : 'Hadis ini hadis sahih
menepati syarat Bukhari dan Muslim tetapi mereka tidak meriwayatkannya di dalam
kitab mereka. Keduanya berhujah dengan Muwarriq ibn Musyamrij  al-'Ajaliyy'; dan
ia dipersetujui oleh al-Zahabi.

[8]Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunannya, Kitab al-Salat, Bab Ma ja'a fi
khuruj al-nisa' ila al-masjid, no. hadis : 567; Ahmad, 2/76, no. hadis : 5468 &
5471; al-Hakim dalam al-Mustadrak, Kitab al-Imamah wa Salat al-jama'ah, no.
hadis : 755; al-Baihaqi dalam Sunannya, Kitab al-Haidh, Bab Khayr Masajid
al-Nisa' Qa'r Buyutihinna, no. hadis : 5142. Berkata al-Hakim : 'Hadis ini sahih
menepati syarat Bukhari dan Muslim, keduanya berhujah dengan al-'Awwam bin
Hawsyab dan telah thabit bahawa Habib mendengar dari Ibn Umar; tetapi mereka
tidak meriwayatkan penambahan dalam hadis ini 'wa buyutuhunna khayrun lahunna''.
Dipersetujui oleh al-Zahabi.

[9]al-'Azhim Abadi, op. cit, 2/165.

[10]Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya, Kitab al-Ridha', Bab bi dun
tarjamah , no. hadis : 1173; Ibn Hibban dalam Sahihnya, Kitab al-Hazr wa
al-Ibahat, no. hadis : 5599; Ibn Abi  Syaibah dalam al-Musannaf, Kitab
al-Salawat, Bab Man kariha zalik, no. hadis : 7616; Ibn Khuzaimah dalam
Sahihnya, Kitab al-Salat, Bab Ikhtiyar Salat al-Mar'ah fi Baytiha 'ala
Salatiha…, no. hadis : 1685; al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Kabir dan al-Awsath,
no. hadis : 10115 & 8096. Dalam riwayat al-Tirmizi oleh Abdullah, tiada lafaz :
'Wa aqrabu ma takuunu…' dan dia berkata : 'Ini hadis hasan sahih gharib'.
Berkata al-Haithami : 'Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir dan
perawi-perawinya dipercayai'. Lihat : al-Haithami, Nur al-Din Ali bin Abi Bakr,
Majma' al-Zawa'id wa Manba' al-Fawa'id, (Beirut : Dar al-Fikr, 1412H) 2/156.

[11]Lihat : al-Mubarakfuri, Muhammad Abdul Rahman bin Abdul Rahim, Tuhfat
al-Ahwazi bi Syarh Jami' al-Tirmizi, (Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyah, 2001)
4/283.

[12]Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab al-Salat, Bab Ma Yuqaal fi
al-Ruku' wa al-Sujud, no. hadis : 482; Abu Daud dalam  Sunannya, Kitab al-Salat,
Bab Fi al-Du'a fi al-Ruku' wa al-Sujud, no. hadis : 875; al-Nasa'ie dalam
Sunannya, Sifat al-Salat, Aqrab Ma Yakuunu al-'Abd Min Allah 'Azza wa Jalla, no.
hadis : 1137; Ahmad dalam Musnadnya, 2/421, no. hadis : 9442.

[13]Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab al-Tafsir, Bab Qauluhu
Ta'ala : [33 : 53], no. hadis : 4517; Muslim dalam Sahihnya, Kitab al-Salam, Bab
Ibahat al-khuruj li al-nisa' li qadha' hajat al-insan, no. hadis : 2170.

[14]Lihat : al-Baghawi, al-Hussain bin Mas'ud, Ma'alim al-Tanzil, (al-Riyadh :
Dar Thiibah, 2002M/1423H) 1/519.

[15]Lihat : al-Qurtubi, op. cit., 16/275.

[16]Al-Sa'di, Abdul Rahman bin Nasir, Taysir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam
al-Mannan, (al-Riyadh : Dar al-Salam, 2002M/1422H) 945.

[17]Lihat : Ibn Hajar, Ahmad bin Ali Abu Fadhl, Fath al-Bari, (Beirut : Dar
al-Ma'rifah, 1379H) 10/473.

[18]Diriwayatkan  oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab al-Adab, Bab Ma Yukrahu
min al-Namimah, no. hadis : 5709; Abu Daud dalam Sunannya, Kitab al-Adab, Bab fi
al-Qattaat (al-Nammaam), no. hadis : 4871; Ahmad dalam Musnadnya, 5/382, 389,
397, 402, 404; al-Nasa'ie dalam Sunan al-Kubra, Kitab al-Tafsir, Surah al-Qalam,
no. hadis : 11614.

[19]Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab al-Asyribat, Bab Ma Ja'a
fi Man Yastahillu al-Khamr…, no. hadis : 5268; Abu Daud dalam Sunannya, Kitab
al-Libas, Bab Ma Ja'a fi al-Hirr, no. hadis : 4039.

[20]Dinaqalkan dari : al-Suyuti, Jalaluddin bin al-Kamal, al-Amru bi al-Ittiba'
wa al-Nahyu 'an al-Ibtida', (al-Riyadh : Dar Ibn al-Qayyim, 2001M/1422H)
107.[21]Lihat : Al-Qarni, 'Aidh bin Abdillah, Bayt Ussisa 'ala al-Taqwa, (Beirut
: Dar Ibn Hazm, 2000M) 214
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© TazkirahGroup All Rights Reserved