Seorang ustaz perlu menguruskan jenazah
seorang pemuda pada pukul 3 pagi dan bermulalah kisah seram. Semoga kejadian
ini menjadi iktibar kepada semua.
Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat orang Islam
di sebuah hospital kerajaan di Selangor. Semoga dapat kita ambil iktibar dan
tauladan.
Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya
menerima panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor
untuk menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut. Di luar
bilik mayat
itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.
Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut
yang berada dalam bilik berkenaan. Saya membuka dengan hati-hati penutup muka
jenazah. Kulitnya putih, badannya kecil dan berusia awal 20-an. Allah Maha
Berkuasa.
Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu
sedikit demi sedikit bertukar menjadi hitam. Mulanya saya tidak menganggap
ia sebagai aneh, namun apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula
bertanya-tanya. Saya terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil di hati
tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Detik demi detik
berlalu, wajah jenazah semakin hitam.
Selepas lima minit berlalu, barulah ia
berhenti bertukar warna. Ketika itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih
seperti warna asalnya, tetapi hitam seperti terbakar. Saya keluar dari
bilik mayat
berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku itu.
Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya; apakah yang sebenarnya telah
terjadi? Siapakah pemuda itu? Mengapa wajahnya bertukar hitam? Persoalan
demi persoalan muncul di fikiran saya.
Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati
ada seorang wanita berjalan menuju ke arah saya. Satu lagi pertanyaan timbul, siapa
pula wanita ini yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul
4.00 pagi. Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri
di hadapan saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung.” Ustaz,” kata
wanita itu. “Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu mayatnya
tidak dituntut. Jadi saya nak tengok jenazahnya.” kata wanita berkenaan dengan
lembut.
Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya,
namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah tersebut. Saya tarik
laci 313 dan buka kain penutup wajahnya. “Betulkah ini mayat anak mak
cik?”tanya saya. “Mak cik rasa betul… tapi kulitnya putih.” “Makcik lihatlah
betul-betul.” kata saya. Selepas ditelitinya jenazah berkenaan, wanita itu
begitu yakin yang mayat itu adalah anaknya. Saya tutup kembali kain penutup
mayat dan menolak kembali lacinya ke dalam dan membawa wanita itu keluar dari
bilik mayat.
Tiba di luar saya bertanya kepadanya. “Mak
cik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang berlaku sampai wajah anak mak
cik bertukar jadi hitam?” tanya saya. Wanita itu tidak mahu menjawab sebaliknya
menangis teresak-esak. Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih enggan menjawab.
Dia seperti menyembunyikan sesuatu.”Baiklah, kalau mak cik tidak mahu beritahu,
saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini. ” kata saya untuk
menggertaknya. Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka mulutnya.
Sambil mengesat airmata, dia berkata, “Ustaz, anak saya ni memang baik,
patuh dan taat kepada saya. Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya
buat sesuatu kerja, dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa membantah sepatahpun.
Dia memang anak yang baik. Tapi…” tambah wanita itu lagi “apabila makcik
kejutkan dia untuk bangun sembahyang, Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak
cik. Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke kedai, dalam hujan lebat pun dia akan
pergi, tapi kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang, anak makcik ini akan
terus naik angin. Itulah yang mak cik kesalkan.” kata wanita tersebut.
Jawapannya itu memeranjatkan saya.
Teringat saya kepada hadis nabi bahawa barang
siapa yang tidak sembahyang, maka akan ditarik cahaya iman dari wajahnya.
Mungkin itulah yang berlaku. Wajah pemuda itu bukan sahaja ditarik cahaya
keimanannya, malah diaibkan dengan warna yang hitam. Selepas menceritakan
perangai anaknya, wanita tersebut meminta diri untuk pulang. Dia berjalan dengan
pantas dan hilang dalam persekitaran yang gelap. Kemudian saya pun memandikan,
mengapankan dan menyembahyangkannya.
Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah
semula. Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya
sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak untuk
menghubungi waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon yang diberikan
oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, saya hubungi saudara Allahyarham yang agak
jauh pertalian persaudaraannya. Selepas memperkenalkan diri, saya berkata,
“Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital seorang diri di
pagi-pagi hari. Rasanya lebih elok kalau encik dan keluarga encik yang datang
sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang.”
Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut,
“Orang tua mana pula?” katanya. Saya ceritakan tentang wanita berkenaan,
tentang bentuk badannya, wajahnya, tuturannya serta pakaiannya. “Kalau
wanita itu yang ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya, tapi…. emaknya dah
meninggal lima tahun lalu!” Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak
dikatakan lagi. Jadi ‘apakah’ yang datang menemui saya pagi itu? Walau siapa
pun wanita itu dalam erti kata sebenarnya, saya yakin ia adalah ‘sesuatu’ yang
Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga
menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam. Peristiwa tersebut telah
terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.
Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis
nabi, yang bermaksud bahawa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu
waktu dengan sengaja, dia akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun.
Bayangkanlah seksaan yang akan dilalui kerana satu hari di akhirat bersamaan
dengan seribu tahun di dunia. Kalau 80,000 tahun?
Wallahu’alam….
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment